JUN 2025

Sarawak Kongsi Pelan Hala Tuju Pembangunan Tenaga Bersih Di EEC


SCOTLAND: Sarawak sekali lagi mencuri di peringkat global apabila dijemput berkongsi pelan hala tuju pembangunan tenaga bersih wilayah ini sempena Persidangan Eksport Tenaga (EEC) 2025 di Aberdeen.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni yang mengetuai delegasi kerajaan negeri berkongsi mengenai pelaburan utama dalam tenaga hidro, pengeluaran hidrogen, dan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui yang menjadi asas kepada komitmen Sarawak untuk mencapai pelepasan sifar bersih dan mewujudkan dirinya sebagai hab tenaga bersih serantau.

Dalam kenyataan media semalam, beliau mengajak pelabur global dan rakan teknologi untuk meneroka serta menyokong projek tenaga mampan di Sarawak, menandakan kesediaan wilayah ini untuk memacu pertumbuhan dan inovasi.

“Sarawak akan terus mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan alam sekitar di wilayah ini terus mampan sekaligus mencapai visi untuk menjadi contoh dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan itu.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar; Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman; serta delegasi Sarawak yang lain. – UKAS